Karier Bersama Kumpulan Spring Ameng_Spring

Walaupun Spring ditubuhkan pada tahun 1987, Ameng hanya mula menganggotai kumpulan ini pada tahun 1990 menggantikan vokalis asal, Amat yang menarik diri sebelum album pertama yang berjudul Spring mula dirakamkan. Pada ketika itu, Spring masih membawa genre rock kapak dan tampil berambut panjang melepasi paras leher.

Album pertama Spring yang dikeluarkan pada tahun 1991 telah mencatatkan jualan yang kurang memberangsangkan memandangkan mereka masih baru dalam industri. Namun, ia tidak mematahkan semangat beliau dan anggota Spring yang lain, sebaliknya mereka telah diberi peluang kedua oleh Sony Music untuk menghasilkan album kedua pada tahun 1992. Berbekalkan lagu Sampai Hati yang juga judul album kedua Spring, nasib Ameng dan anggota Spring yang lain berubah sekelip mata apabila lagu ciptaan M. Nasir & lirik ditulis oleh Juwie mendapat sambutan yang menggalakkan seterusnya album tersebut mencatatkan jualan yang membanggakan. Bukan itu sahaja, lagu tersebut juga layak ke peringkat akhir Juara Lagu '93 & Pujaan 10 Nescafe. Sejak itu, populariti Spring meningkat secara mendadak sekaligus menjadikan Spring sebagai kumpulan rock yang terkenal, sebaris dengan kumpulan rock yang lain seperti Search, Wings, Mega, Iklim dan lain-lain.

Beliau dan rakan-rakannya seperti mendapat motivasi dengan kejayaan lagu tersebut dan mereka terus mengorak langkah dengan menghasilkan beberapa buah album selepas itu seperti Bourgenvilla (1994), Jujur (1995), Pujaan Gemilang (1995), Spring 5 (1996), Luahan (1997) dan banyak lagi. Ternyata album yang dihasilkan juga meletup di pasaran dengan lagu-lagu hits seperti Bourgenvilla, Butakah Cinta, Sepi Tanpa Cinta, Sejujur Mana Kata-Kata, Persada Cintaku, Romantis, Kita Ditakdirkan Jatuh Cinta, Kerana Budi Ku Jatuh Hati & Pesanan Buat Kekasih. Lagu-lagu ini sedikit sebanyak telah meletakkan Spring sebagai kumpulan rock yang masih utuh pada penghujung 90-an sedangkan kumpulan rock lain tidak lagi mampu meraih jualan yang memberangsangkan.

Selepas menghasilkan album Hati Mahu Baik pada tahun 2001, Ameng dan rakan-rakannya telah mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing berikutan komitmen dan isu yang melanda pada ketika itu.